Pesawat kawalan jauh tarikan Karnival Sukan Udara Kelantan

Pesawat kawalan jauh tarikan Karnival Sukan Udara Kelantan

SEBAHAGIAN pesawat kawalan jauh yang menjadi tarikan Karnival Udara Kelantan 4.0 di Gong Kubur, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. – MINGGUAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 300 pesawat kawalan jauh termasuk jet turbain, pesawat perang, Cessna dan helikopter sebenar milik individu mewarnai ruang udara Tok Bali, di sini, sempena Karnival Sukan Udara Kelantan 4.0 yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam.

Pengerusi  Kelab Pesawat Kawalan Jauh Kelantan, Muzaidi Abdullah berkata,  penganjurannya kali ini membabitkan penyertaan pemilik pesawat kawalan jauh seluruh negara dan turut menarik penyertaan dari Taiwan menerusi kehadiran juruterbang kawalan jauh terkenal, Golden Wong.

“Karnival yang memasuki edisi keempat di Tok Bali ini bertujuan memperkenal sukan dan rekreasi udara kepada masyarakat Kelantan secara lebih dekat.

“Kami mahu masyarakat Kelantan terdedah kepada potensi sukan udara ini bukan sahaja dari segi rekreasi tetapi sebagai platform perniagaan, pendidikan dan pembangunan bakat tempatan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Tok Bali, di sini, semalam.

Muzaidi berkata, objektif utama penganjuran itu adalah untuk membuka ruang kepada masyarakat memahami sukan udara yang kian berkembang di negara ini.

“Selain mendedahkan para pelajar kepada industri kreatif dan inovatif dalam pembinaan serta reka bentuk model pesawat dan dron kawalan jauh. Ia juga adalah platform pemilihan atlet sukan udara bagi mewakili Kelantan serta negara ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, aktiviti pesawat udara turut menarik minat golongan usahawan untuk terlibat dalam industri pembuatan kerangka pesawat, propeller dan enjin.

“Sepanjang dua hari ini pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran pesawat, jualan produk aeronautik tempatan, dan demonstrasi kawalan dron oleh pemain profesional,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN