Pesara polis diarah belia diri atas pertuduhan edar dadah

Pesara polis diarah belia diri atas pertuduhan edar dadah

AMINUDDIN Amir (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban hari ini selepas didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis pada 2022. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang pesara polis berpangkat Sarjan Mejar membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Rohani Ismail memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Aminuddin Amir, 66, di akhir kes pendakwaan.

Rohani berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar keterangan saksi pihak pendakwaan dan mendengar hujahan-hujahan yang dikemukakan kedua-dua belah pihak berdasarkan penilaian menyeluruh atas kesemua keterangan daripada pihak pendakwaan.

“Saya berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pemilikan dadah oleh tertuduh adalah berdasarkan anggapan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala elemen pengedaran pula dibuktikan berdasarkan takrifan Seksyen 39B(2) akta yang sama iaitu menyimpan dan memiliki.

“Berdasarkan Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah tertuduh kini dipanggil untuk membela diri,” katanya pada prosiding hari ini.

Mengikut pertuduhan, Aminuddin didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram di pondok belakang rumah di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir di Jempol pada 14 September 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selepas membacakan keputusan itu, Rohani telah memberi tiga pilihan kepada tertuduh berhubung keterangan bakal diambil pada peringkat pembelaan akan datang.

Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh yang mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan.

Kedua, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan manakala yang terakhir ialah berdiam diri tanpa menjawab tuduhan.

Tertuduh kemudian memilih pilihan pertama dan peguamnya, G.Subramaniam Nair menawarkan empat saksi termasuk anak guam dalam prosiding bela diri.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi. Tarikh prosiding pembelaan ditetapkan pada 2 dan 3 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN