IPOH: Seorang perunding minyak dan gas kerugian RM2.7 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan oleh rakan yang dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 37 tahun itu mendaftar akaun sebuah pelaburan di laman sesawang ‘Nova 88’ melalui rakannya pada April 2023.
Katanya, kerana yakin dengan suspek, mangsa membuat bayaran deposit pertama berjumlah RM30,000 sebelum diberikan ID dan kata laluan untuk melihat pelaburan tersebut.
“Bermula dari 5 Januari 2024 hingga hingga 20 Mei 2025, mangsa telah membuat 136 transaksi pindahan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza berjumlah RM2,701,687.
“Wang pelaburan tersebut merupakan wang daripada simpanan mangsa sendiri dan ahli keluarganya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa hanya menyedari ditipu apabila perlu membuat pembayaran lain sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan yang diperoleh.
Malah katanya, sehingga kini mangsa tidak pernah berjaya mengeluarkan wang keuntungan dari platform berkenaan.
“Rakan mangsa bukan sahaja sering memberi pelbagai alasan malah dia juga gagal dihubungi sehingga kini.
“Mangsa membuat laporan polis kelmarin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN