PASIR MAS: Pertemuan 160 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara, termasuk dari Sabah malam tadi membuktikan solidariti pemimpin parti itu kepada bekas Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah padam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sokongan diberikan juga menangkis dakwaan dimainkan pembangkang yang mengatakan UMNO tidak pernah serius membela bekas Perdana Menteri itu.
Menurutnya, UMNO akan terus berjuang dan berusaha supaya Najib mendapat pengadilan sewajarnya.
“UMNO ketika ini sehabis daya berusaha bagi memastikan Titah Adendum ke atas Bossku dapat dilaksanakan bagi membolehkan beliau (Najib) menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.
“Kehadiran lebih tiga perempat Ketua Bahagian UMNO menunjukkan solidariti kita kepada Bossku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pasir Mas di sini hari ini.
Wan Rosdy memberitahu, UMNO juga berharap Yang di-Pertuan Agong dapat mempertimbangkan pelaksanaan Titah Adendum kepada Najib.
Semalam media melaporkan, seramai 160 ketua UMNO bahagian sepakat mendesak pelaksanaan Titah Adendum agar Najib dapat menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.-UTUSAN










