PETALING JAYA: Persembahan bertenaga kumpulan pop punk, Bunkface semasa festival muzik, Latihan Pesta Pora terus mencuri tumpuan sehingga hari ini.
Bunkface yang dianggotai Sam (vokal/gitar), Paan (gitar), Youk (bass), dan Biak (dram) menyanyikan lapan lagu terbaik mereka sepanjang satu jam slot persembahan pada Sabtu.
Bukan itu sahaja, Bunkface turut mendedikasikan lagu Dunia yang diterbitkan mereka pada 2010 bagi menggambarkan keadaan bergolak yang dihadapi beberapa negara hari ini.
Kesempatan itu juga digunakan Bunkface untuk mengajak penonton cakna akan konflik kemanusiaan yang terjadi di Palestin sekali gus menyatakan pendirian mereka terhadap pembebasan Palestin.
Walaupun persembahan mereka sudah berakhir, namun kualiti nyanyian, tenaga, vokal, sistem bunyi kumpulan Bunkface masih menjadi bahan bualan sehingga kini di media sosial.
“Selepas pergi Latihan Pesta Pora, tidak boleh dinafikan Bunkface memang ada ‘kuasa’ untuk buat semua orang nyanyi bersama-sama. Bukan satu lagu, tapi ikut nyanyi semua lagu mereka,” tulis satu komen di Thread.
“Aku datang festival ini untuk tengok artis lain. Tapi terkejut dengan persembahan Bunkface sebab nyanyian jelas, sistem bunyi jauh lebih baik daripada band yang aku nak tengok walaupun masing-masing buat persembahan di pentas sama,” kata pengunjung lain.
“Bunkface punya sistem bunyi memang ‘rocking’, ini menunjukkan band itu ada pasukan produksi handal tentang bunyi. Dalam kes ini jangan salahkan penganjur, setiap artis patut bawa jurutera audio sendiri,” tulis satu komen yang lain.
Bunkface menyanyikan lagu hit mereka antaranya Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku, Ekstravaganza, Darah Muda, Panik, Situasi dan Revolusi.
Festival muzik Latihan Pesta Pora julung kali diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan berjaya menarik 25,000 pengunjung.
Selain Bunkface, lebih 25 barisan turut terlibat menjayakan festival itu antaranya Feast, Hindia, Nadin Amizah, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Dolla, Pamungkas, Feel Koplo dan Kunto Aji.
Turut sama memeriahkan majlis ialah Salammusik, Sheila on 7, Alvn, Aziz Harun, DJ CZA, Dukes, Elva Suyan, Fahimi, Empty Page, Gaston Pong, Ismail Izzani, Julia Duclos, Killa Driz, Lil J, Naki, Sonaone dan Yonnyboii. -UTUSAN