KUALA LUMPUR: Faktor geopolitik dan persaingan kuasa besar yang memberi kesan besar terhadap kestabilan negara mendesak ASEAN perlu mengukuhkan kedudukan rantau ini bagi menghadapi cabaran semasa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana seluruh negara di Asia Tenggara berdepan pelbagai cabaran baharu seperti perubahan iklim, kemunculan teknologi yang merosakkan serta masyarakat yang semakin berpecah akibat perbezaan politik dan ekonomi.
“Kita perlu mempertahankan semangat kebebasan dan tindakan bersama. Dengan tanggungjawab kini di tangan kita, kita harus memimpin rakyat menuju masa depan yang lebih selamat dan adil.
“Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan berpegang kepada nilai keterangkuman dan kelestarian. Kita mahu memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau melalui pendekatan berpandangan jauh yang berteraskan nilai-nilai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengimbas kembali penubuhan ASEAN 58 tahun lalu, Mohamad berkata, ASEAN telah melalui perjalanan yang panjang di mana ketika itu, lima pemimpin berkumpul untuk menandatangani Deklarasi Bangkok bagi membina sebuah komuniti serantau.
“Detik itu menjadi titik perubahan besar dalam sejarah rantau ini. Pada 1967, ASEAN lahir dalam dunia yang penuh ketegangan dengan ancaman senjata nuklear serta perang proksi di pelbagai tempat.
“Dalam keadaan mencabar itu, usaha menyatukan lima negara Asia Tenggara demi keamanan merupakan langkah yang berani dan berpandangan jauh.
“Ketika dunia berpecah kerana konflik, para pengasas kita memilih untuk menjalin kerjasama dan mengutamakan semangat bekerjasama antara negara,” katanya. – UTUSAN