Peroleh lesen penerbangan dan ijazah serentak

Peroleh lesen penerbangan dan ijazah serentak

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Arman Rumaizi Ahmad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC, Kapten Kenneth Yap pada Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan 2u1i di Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menawarkan Program Sarjana Muda Penerbangan 2u1i, sekali gus meneroka sempadan baharu dalam bidang pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, kerjasama strategik dengan International Aero Training Academy (IATAC) itu membolehkan pelajar memperoleh lesen juruterbang profesional dan Ijazah Sarjana Muda Penerbangan serentak.

Katanya, pelajar tidak lagi perlu memperuntukan tempoh sehingga lima hingga enam tahun untuk memperoleh dua kelayakan iaitu ijazah sarjana muda dan Lesen Profesional Penerbangan (CPL).

“Kini melalui program 2u1i tempoh pembelajaran dapat dipendekkan kepada hanya tiga tahun dan menjadikan ini sebagai program dua kelayakan, sarjana muda dan CPL yang paling singkat di Malaysia.

“Kejayaan ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos malah memberikan kelebihan kompetitif luar biasa kepada graduan kita serta membuka lebih banyak peluang kerjaya bukan sahaja di tanah air tetapi juga di persada antarabangsa.

“Usaha ini adalah selari dengan agenda teras pertama pelan strategik ‘UPNM30’ iaitu kesarjanaan yang menekankan integrasi ilmu, kemahiran dan nilai dalam membentuk pelajar sebagai pemimpin masa hadapan, khusus dalam ekosistem keselamatan serta penerbangan negara,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan 2u1i di IATAC, Batu Berendam di sini, hari ini.

Arman Rumaizi berkata, gabungan dua tahun pembelajaran akademik dan setahun latihan industri dapat memperkasakan pelajar dengan ilmu dan kemahiran, selain memperkukuh hubungan antara universiti dengan sektor penerbangan.

Di UPNM, katanya, pelbagai program disediakan di peringkat diploma dan sarjana muda dirangka untuk membuka laluan kerjaya yang luas, sejajar dengan komitmen universiti dalam melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN