Permohonan Badan Peguam tangguh bicara untuk sertai perhimpunan aman ditolak

Permohonan Badan Peguam tangguh bicara untuk sertai perhimpunan aman ditolak

BADAN PEGUAM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan Badan Peguam Malaysia untuk menangguhkan semua prosiding mahkamah pada 14 Julai ini bagi membolehkan para peguam menyertai perhimpunan dan perarakan aman mempertahankan kebebasan kehakiman ditolak Pemangku Ketua Hakim Negara, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azhaniz Teh Azman Teh berkata, perkara itu mengambil kira tarikh berkenaan melibatkan kes-kes yang telah ditetapkan lebih awal serta melibatkan pelbagai pemegang taruh.

“Saya telah diarahkan oleh Tan Sri Hakim Besar Malaya yang menjalankan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Ketua Hakim Negara untuk memaklumkan bahawa permohonan telah dipertimbangkan sewajarnya.

“Namun demikian, memandangkan tarikh berkenaan melibatkan kes-kes yang telah ditetapkan lebih awal serta melibatkan pelbagai pemegang taruh, pihak yang berkepentingan, saksi-saksi dan pegawai-pegawai yang telah membuat persiapan bagi tujuan perbicaraan atau sambung bicara, permohonan penangguhan tidak dapat dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kelmarin, Badan Badan Peguam Malaysia dilaporkan mahu menganjurkan Perhimpunan dan Perarakan Aman bermula dari Istana Kehakiman dan berakhir di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya pada 14 Julai ini. 

Objektif utama untuk menyerahkan satu memorandum penting yang mengandungi tuntutan agar langkah segera diambil bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.

Kali terakhir peguam mengadakan Walk for Judicial Independence ialah pada 2022 bagi membantah pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nazlan Ghazali, yang dianggap sebagai campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman serta melanggar prinsip asas pengasingan kuasa.

Badan Peguam dalam pekeliling yang dikeluarkan kepada peguam minggu lalu menggesa mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan kekosongan jawatan hakim.

Ia berlaku ketika ketegangan semakin meningkat pada penghujung tempoh khidmat Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara dan kekosongannya belum diisi sehingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN