ROMPIN: Sebanyak 12 chalet yang terletak di Kampung Salang, Pulau Tioman di sini, kini dalam keadaan uzur selepas terbiar ekoran pandemik Covid-19.
Pengusahanya, Abd. Hadi Othman, 67, berkata, chalet yang mula beroperasi sejak 1992 itu bukan sahaja mengalami kerosakan fizikal dalam dan luar bangunan, malah turut melibatkan peralatan asas seperti katil.
“Kami mohon pihak berwajib khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) turun padang melihat keadaan sebenar yang kami hadapi.
“Kesan pandemik Covid-19 dan kekurangan pelancong memberi kesan kepada pengusaha chalet di sini. Untuk baik pulih, kos keseluruhan yang diperlukan dianggarkan RM250,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abd. Hadi berkata, usaha membaik pulih secara persendirian gagal disebabkan kekangan modal dan jumlah pelancong yang semakin berkurangan.
“Bila pelancong kurang, pendapatan pun kurang. Jadi proses baik pulih chalet memang tidak dapat dilakukan. Kami harap sangat dapat pinjaman atau peruntukan daripada KKDW atau Mara.
“Masuklah lihat keadaan kami di sini khususnya pengusaha chalet. Dulu saya ada buka restoran tetapi terpaksa ditutup ekoran kekangan modal dan kekurangan pelanggan,” katanya.
Turut membantu dalam operasi harian ialah anaknya, Izzati Inani, 26, yang menjadi tunjang kepada kesinambungan legasi perniagaan keluarga tersebut.
Dia berharap inisiatif seperti pinjaman Mara dan bantuan KKDW dapat disalurkan segera kepada pengusaha chalet demi memberi manfaat kepada ekonomi komuniti setempat.
Difahamkan, terdapat lebih 50 pengusaha chalet dan resort yang beroperasi di Pulau Tioman merangkumi kawasan popular seperti Kampung Tekek, Air Batang (ABC), Salang, Juara dan Genting.
Baru-baru ini, Mingguan Malaysia melaporkan, penduduk Pulau Tioman terus berdepan dilema berpanjangan berikutan ketiadaan kemudahan lapangan terbang komersial dan hanya bergantung kepada perkhidmatan feri serta bot laju. – UTUSAN











