NIBONG TEBAL : Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneliti bentuk bantuan yang sesuai dihulurkan kepada anak sulung pasangan suami isteri yang ditemukan lemas di Sungai Korok, Jitra di Kedah, Isnin lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pada masa yang sama, semakan juga akan dibuat untuk mengetahui sama ada pasangan terbabit pernah mencarum dengan Perkeso atau sebaliknya.
“Saya akan minta Perkeso untuk lihat bagaimana kita boleh bantu (anak sulung mangsa) dalam hal ini,” katanya kepada pemberita semasa hadir merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs anjuran Perkeso di Kompleks Penjara Seberang Perai di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun itu iaitu Putri Qisya Nur Izzat yang kini bergelar yatim piatu.
Terdahulu, pasangan suami isteri terbabit bersama empat anak mereka yang dilaporkan hilang ditemukan lemas dalam sungai berkenaan selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam sungai tersebut.
Mangsa yang maut ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32; isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak-anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7, dan seorang bayi, Tuah Hayda berusia enam bulan.-UTUSAN