Perhimpunan Turun Anwar tidak dapat sambutan penyokong atas pagar

Perhimpunan Turun Anwar tidak dapat sambutan penyokong atas pagar

LIEW Chin Tong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perhimpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu didakwa gagal menarik penyertaan daripada penyokong atas pagar dan hanya dipenuhi oleh penyokong tegar parti pembangkang.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, himpunan tersebut hanya untuk membakar semangat akar umbi Perikatan Nasional (PN) sedangkan kepimpinan gabungan lesu.

“Walaupun perhimpunan ini yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia) berjaya mengumpulkan sejumlah penyokong.

“Tetapi hampir semuanya merupakan penyokong tegar Pas dan gagal menarik minat orang awam yang tidak berpihak atau berkecuali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 26 Julai lalu, polis dilaporkan menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Walaupun tiada tangkapan yang dilakukan oleh semasa perhimpunan tersebut berlangsung, pihak polis mengesahkan bahawa mereka menerima empat laporan satu kes di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) manakala tiga lagi berkaitan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

Semasa perhimpunan tersebut antara pemimpin pembangkang utama yang hadir adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausahaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, perhimpunan yang bermula 2 petang itu turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, PN boleh menjadi pembangkang yang konstruktif sekiranya mereka mahu iaitu bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan melalui proses Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, pemimpin PN perlu sedar bahawa menjadi pembangkang yang hanya tahu mencetuskan kemarahan, kebencian dan semata-mata mahu memanipulasi emosi rakayat tidak akan membawa negara ke mana-mana.

“Saya teringat bahawa seminggu selepas Langkah Sheraton pada 2020, ketika ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) masih terkejut dengan pengkhianatan itu, Anthony Loke yang ketika itu belum lagi menjadi Setiausaha Agung DAP berjaya meyakinkan Ahli Parlimen parti untuk mencari penyelesaian yang damai.

“Ideanya, menstabilkan situasi politik, bekerjasama dengan kerajaan sedia ada untuk mencapai perjanjian keyakinan dan perbekalan yang kemudiannya menjadi Memorandum Persefahaman dengan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri dan hanya selepas itu, bertanding dalam Pilihan Raya Umum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN