Perhimpunan Turun Anwar: 16 jalan di ibu negara dilencongkan 

Perhimpunan Turun Anwar: 16 jalan di ibu negara dilencongkan 

MOHAMED USUF JAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 16 jalan sekitar pusat bandar akan dilencongkan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya susulan Perhimpunan Turun Anwar dijadualkan esok. 

Peserta perhimpunan dijangka berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Pemangku  Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, susulan itu, beberapa laluan di sekitar pusat bandar dijangka mengalami lencongan bergantung kepada situasi dari semasa ke semasa. 

Katanya, lencongan kenderaan akan diaktifkan sekiranya keadaan memerlukan untuk  memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pengguna jalan raya. 

 “Ia dijangka membabitkan Jalan Maharajalela / Susur ke Jalan Syed Putra,Jalan Kinabalu / U-turn Public Bank, Bulatan Sultan Mohamad, Jalan Kinabalu / Susur ke Terowong Bukit Aman dan Jalan Kinabalu / Susur ke Bulatan Dato’ Onn.  

 “Selain itu, atas Bulatan Dato’ Onn (kiri dan kanan) ; Bulatan Dato’ Onn (dari arah Jalan Parlimen); Jalan Sultan Salahuddin/Bulatan Dato’ Onn; Jalan Kuching/Susur ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kinabalu (dari arah Bulatan Segambut ke Bulatan Dato’ Onn ) dan Jalan Kinabalu (dari arah Masjid Negara ke Bulatan Dato’ Onn) serta Jalan Lebuh Pasar Besar / Jalan Hang Kasturi. 

“Lencongan juga dijangka membabitkan Jalan Hishamudin / Jalan Raja, Jalan Parlimen / Jalan Raja Laut,  Jalan Tuanku Abdul Rahman / Jalan Tun Perak dan Jalan Lebuh Ampang / Jalan Tun Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan menggunakan pengangkutan awam bagi meminimumkan kesesakan di pusat bandar serta mematuhi arahan anggota polis trafik bertugas di lokasi.   

“Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai demi menjaga ketenteraman dan keselamatan bersama. 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Balai PolisTrafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN