IPOH: Kerajaan Perak mahu memperluaskan akses kepada sukan buat rakyat negeri ini dengan menyokong program akar umbi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta organisasi masyarakat sivil.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komitmen itu termasuklah melalui pelbagai inisiatif seperti membangunkan kemudahan sukan komuniti serta memperindahkan kawasan riadah.
“Gaya hidup aktif yang digalakkan melalui penglibatan dalam sukan terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti, yang kini kian membimbangkan, terutama dalam kalangan golongan muda dan berkerjaya,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah semasa merasmikan Pesta Sukan Ukur Se-Malaysia (Pesuma) ke-35 anjuran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di sini semalam.
Jupem Perak kembali sebagai tuan rumah Pesuma yang akan diadakan dari 3 hingga 6 Julai ini, selepas kali terakhir pada tahun 1996.
Seramai kira-kira 2,200 orang atlet bakal bersaing untuk lebih 15 acara yang dipertandingkan
Saarani mengajak mereka yang hadir ke negeri ini bersempena pertandingan sukan itu untuk tidak ketinggalan melawati beberapa lokasi menarik di Perak.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada Jupem yang berperanan penting dalam persempadanan semula daerah dan mukim Perak termasuk sempadan negeri dengan Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang kerana ia amat kritikal memastikan ketelusan tadbir urus dan ketepatan perancangan pembangunan negeri. – UTUSAN