Perak harap kemasukan pelabur tidak terjejas akibat tarif AS - Utusan Malaysia

Perak harap kemasukan pelabur tidak terjejas akibat tarif AS

SAARANI Mohamad (tengah) merasmikan Seminar Kelestarian Integriti Pembangunan Institusi Pendidikan Agama: Bicara Integriti dan majlis penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (Ceio) Sektor Awam di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak mengakui pelaksanaan tarif 25 peratus Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia boleh menjejaskan negeri ini terutama melibatkan pelaburan dan produk yang dieksport ke negara itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun mengharapkan isu tersebut tidak merencatkan kemasukan pelabur ke negeri ini terutama tarif itu turut dikenakan di pelbagai negara.

“Hal ini patut dijawab oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di peringkat Persekutuan. Di peringkat negeri ini, akan adalah terjejas sebab kita melibatkan pelaburan dan produktiviti.

“Kalau produk kita itu perlu dieksport ke AS. Maka akan terlibat (menerima kesan),” katanya kepada pemberita semasa Seminar Kelestarian Integriti Pembangunan Institusi Pendidikan Agama: Bicara Integriti dan majlis penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (Ceio) Sektor Awam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang impak terhadap negeri Perak ekoran pengumuman tarif oleh Presiden AS, Donald Trump pada Selasa lalu ke atas barangan Malaysia mulai 1 Ogos.

Semalam, Pulau Pinang menyatakan keputusan AS itu bakal memberi kesan terhadap ekonomi negeri tersebut yang sangat bergantung kepada eksport dan berkait rapat dengan rantaian nilai global.

Saarani berkata, negeri Perak tiada pilihan melainkan mesti terus membawa masuk seramai mungkin pelabur.

“Kita harap para pelabur tidak akan terasa terencat dengan hal ini. Tarif ini ditetapkan oleh AS. Jika melabur di Kemboja pun, kalau barang itu hendak dibawa ke AS, kesannya tetap sama. Kita harap pelabur tidak terencat hendak melabur di Perak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN