IPOH: Pembangunan Perpustakaan Digital Negeri Perak dijangka siap sepenuhnya pada Disember depan, sekali gus bakal menjadi antara perpustakaan digital paling moden dan interaktif di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, pelaksanaan projek tersebut sedang giat dijalankan selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kewangan Negeri melantik kontraktor bertanggungjawab baru-baru ini.
“Saya difahamkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) bahawa kontraktor telah memulakan kerja-kerja pelaksanaan.
“Mereka akan memastikan projek tersebut disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada pemberita pada program Bazar Buku Perak 2025 (BBP2025) di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Khairudin, kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf perpustakaan tersebut dijangka diselesaikan menjelang Disember ini manakala pemeriksaan akan dilakukan oleh pihak berkaitan teknikal dan JKR sebelum diserahkan sepenuhnya kepada PPANPk pada Februari tahun depan.
Katanya, projek berimpak tinggi itu turut dijangka menjadi tarikan baharu kepada pengunjung perpustakaan negeri, terutama dalam kalangan anak muda yang semakin dekat dengan teknologi dan pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Kita akan wujudkan pelbagai segmen baharu, termasuk penggunaan teknologi terkini, AI dan sebagainya. Apabila siap kelak, ia akan menjadi antara perpustakaan digital tercanggih di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3 juta bagi pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, Perpustakaan Digital Negeri Perak bukan sahaja akan menjadi pusat ilmu moden, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan intelektual dan ruang interaksi komuniti.
“Kita juga sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan Bazar Buku Perak 2026 di lokasi tersebut bagi menunjukkan keberkesanan transformasi digital yang berlaku dalam sektor pembacaan dan pendidikan negeri.
“Projek tersebut diharapkan mampu melonjakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat, seiring hasrat kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai negeri yang maju dari segi ilmu dan teknologi,” katanya. – UTUSAN