PORT DICKSON: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor kerbau dalam kejadian di Kilometer 41.5, Jalan Port Dickson-Lubuk China, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC datang dari arah pekan Linggi menghala ke Permatang Pasir. Sebaik sampai di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa terlanggar kerbau yang secara tiba-tiba masuk ke laluan motosikal tersebut.
“Selepas pelanggaran, kerbau iu telah lari ke kawasan kebun sawit berhampiran. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Maslan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN