BESUT: Kemudahan penstrukturan semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat sambutan menggalakkan daripada peminjamnya sejak dilancarkan akhir tahun lalu.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sejak kempen LESTARIPendidikan dilancarkan, ramai peminjam hadir ke pejabat perbadanan itu membuat penstrukturan semula bagi membuat bayaran mengikut kemampuan semasa .
“Kita gunakan pendekatan yang empati, yang mana peminjam boleh datang ke cawangan PTPTN untuk membuat penstrukturan dan sekiranya mereka belum mendapatkan pekerjaan, kita bagi ‘tempoh bertenang’.
“Jika bekerja pula, kita akan membuat penstrukturan mengikut kemampuan mereka bagi memastikan pembayaran tetap dilakukan,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Besut di Gong Kemuntong, di sini hari ini.
Menurut Norliza, pihaknya bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu peminjam mendapatkan pekerjaan bagi mereka yang belum bekerja.
Katanya, kempen LESTARIPendidikan dapat memperkasa rakyat melalui pendidikan tinggi di samping membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan. – UTUSAN











