Peniaga resah akibat jerebu, bimbang jejas kesihatan - Utusan Malaysia

Peniaga resah akibat jerebu, bimbang jejas kesihatan

PEMANDANGAN cuaca berjerebu yang kelihatan sejak awal pagi tadi di Eco Majestic, Semenyih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Diselubungi asap, tekak terasa perit dan debu putih berterbangan. Itu antara kesan jerebu yang dirasakan di sekitar Semenyih, di sini hari ini.

Hasil tinjauan di beberapa kawasan perniagaan sekitar Semenyih yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Nilai, Negeri Sembilan lokasi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 156 setakat pukul 9 pagi tadi mendapati orang ramai menyatakan rasa bimbang dengan situasi jerebu yang semakin buruk.

SHUHADA ABU

Peniaga nasi lemak, Shuhada Abu, 48, berkata, keadaan pagi ini jauh lebih buruk berbanding semalam sehingga dia terpaksa memakai pelitup muka sepanjang berniaga.

“Cuaca pagi ini memang lain macam. Ada bau asap terbakar dan tekak pun jadi perit akibat jerebu.

“Mujur saya dapat habiskan jualan awal dan balik cepat sebab risau berada terlalu lama di luar,” katanya yang berniaga di hadapan pusat beli-belah Taman Pelangi Semenyih, di sini. 

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mendapati empat kawasan seperti Johan Setia, Banting di Selangor dan Port Dickson dan Nilai mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Keadaan itu berpunca daripada fenomena jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Seorang peniaga nasi yang enggan dikenali di Bandar Tasik Kesuma di sini memberitahu, dia tidak menyangka kabus tebal yang disangka hanya kesan cuaca biasa semalam rupanya adalah jerebu.

“Saya tutup gerai lebih awal, semalam, sebab mata rasa pedih. Hari ini nampak cuaca lagi teruk seperti debu berterbangan sampai melekat di cermin kereta,” katanya.

Pekerja swasta, Mardhiah Syafiqah Abdull Rahim, 31, memilih untuk kekal berada di rumah dan tidak membawa anak-anak keluar beraktiviti.

“Pagi tadi, semasa hendak ke pasar, saya nampak debu putih melekat pada cermin kereta. Cuaca pun macam berkabus dan pemandangan luar tidak jelas. 

“Terus saya batalkan niat bawa anak-anak keluar. Suami pun sudah mula sakit tekak sejak dua hari lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN