Peniaga mahu Medan Selera Masai dinaik taraf

Peniaga mahu Medan Selera Masai dinaik taraf

HASSAN Abdul Karim  mengadakan sesi dialog dengan peniaga di Medan Selera Masai, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Medan selera bersebelahan Pasar Awam Masai di Pasir Gudang, dekat sini yang dahulu meriah kini makin suram selepas ramai dalam kalangan peniaganya sudah menutup operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penasihat Persatuan Peniaga Food Court Masai, RS Maniam mendakwa keadaan itu berlaku apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mahu menyambung semula lesen perniagaan para peniaga di kawasan itu dan enggan menaik taraf kedai-kedai makan yang ada di situ.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kira-kira 40 peniaga di kawasan itu berniaga tanpa lesen sejak 2022 selepas PBT memberi alasan mahu mencari pemilik tapak di medan selera tersebut terlebih dahulu.

“Berdasarkan geran, tapak medan selera ini adalah milik Setiausaha Kerajaan Negeri, dahulunya merupakan Stesen Bas Masai yang telah berpindah ke tepi Jalan Masai Lama. 

“Kami sudah berniaga sejak tahun 1997, sebelum ini terdapat lebih 60 peniaga tetapi kini hanya 40 peniaga yang tinggal,” katanya selepas dialog antara peniaga kecil dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, semalam.

Seorang peniaga, Muhamad Rajip Mat Jadi, 65, berkata, mereka tetap berniaga di kawasan itu biarpun berdepan risiko dikenakan tindakan kerana itu adalah sumber pendapatan mereka.

“Kami risau apabila penguat kuasa PBT datang, namun apa lagi yang boleh kami buat kalau tutup kedai? kami tidak mahu baiki kedai yang sudah usang kerana bimbang sekiranya sudah berhabis duit untuk baiki premis masing-masing, PBT mengarahkan untuk kosongkan kedai pula” katanya.

Bagi S. Murugan, 62, pula, keadaan kedai yang buruk membuatkan ramai pelanggan tidak mahu singgah sedangkan kawasan itu yangstrategik kerana berada di tengah Pekan Masai.

“Dalam sehari hendak dapat RM50 pun susah, keadaaan kedai pun kadang-kadang nampak macam hendak roboh, itu belum cerita berkenaan banjir. Kalau PBT perbaharui lesen, peniaga boleh kutip duit untuk naik taraf kedai di sini,” katanya 

Sementara itu, Hassan berjanji akan menyuarakan perkara tersebut dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Johor Bahru dan membawanya ke pengetahuan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asman Shah Abd. Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN