Peniaga air kelapa cedera, gerai dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Peniaga air kelapa cedera, gerai dirempuh kereta

KEADAAN gerai menjual air kelapa yang dirempuh kereta dipandu lelaki warga emas di hadapan Kuarters Polis Daerah Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang peniaga air kelapa cedera selepas gerainya dirempuh sebuah kereta dinaiki pasangan warga emas dalam kejadian berhampiran Kuarters Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 pagi itu, pasangan warga emas berusia 73 dan 69 tahun yang memandu kereta Proton Saga itu turut cedera.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kereta tersebut dipercayai terlebih dahulu melanggar kereta jenis Honda City yang diletak di tepi jalan sebelum merempuh gerai milik wanita berusia 49 tahun.

“Ketiga-tiga mangsa tidak tersepit dan diberi bantuan awal oleh orang awam. Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

“Pemantauan turut dilakukan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat mahupun cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi tamat pada pukul 11.55 pagi dan disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN