Kosmetik beracun dijual secara terbuka

Kosmetik beracun dijual secara terbuka

TINJAUAN mendapati walaupun notifikasi produk kosmetik itu ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) namun masih boleh didapati di aplikasi jualan dalam talian. GAMBAR AMIRUL AIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun nombor notifikasi kelulusan daripada Kementerian Kesihatan telah ditarik balik, terdapat produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual terus dijual secara terbuka di platform e-dagang dan media sosial.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati antara produk paling banyak dijual termasuk krim pemutih, pelembap wajah, serta sabun pencuci muka yang dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya seperti hidrokuinon, merkuri, dan tretinoin.

Kosmetik terbabit yang turut mengandungi bahan ki­mia dexamethasone, chlorpheni­ra­mine dan sibutramine di­ketahui boleh memberi kesan buruk kepada fungsi buah pinggang, hati, kelenjar adrenal dan sistem saraf manusia, tidak sepatutnya digunakan dalam produk penjagaan kulit tanpa kawalan pakar.

Menurut data daripada Bahagian Regulatori Farmasi Ne­gara (NPRA), produk-produk tersebut disahkan tersenarai dalam kategori kosmetik yang ditarik balik, sekali gus menjadikan sebarang penjualan atau pengedarannya satu kesalahan di sisi undang-undang.

Kebanyakan produk terlarang itu dijual tanpa sebarang maklumat jelas berkenaan nombor notifikasi KKM, malah ada yang menggunakan testi­moni pengguna palsu bagi menarik perhatian pembeli, khususnya wanita dan remaja.

Lebih mengejutkan, sema­kan ke beberapa platform jualan dalam talian mendapati masih wujud maklum balas pengguna terhadap produk kosmetik yang disenarai hitam dan ditarik balik oleh pihak berkuasa, walaupun notis larangan dikeluarkan.

Baru-baru ini KKM men­de­dahkan rampasan lebih RM3.84 juta melibatkan le­bih 47,000 barangan kesihatan dan 89,000 kosmetik dari 2018 hingga awal 2023. Pada 2024 sahaja, lebih 12 jenis produk kosmetik dikesan mengandungi racun dan telah ditarik balik secara rasmi.

Menurut sumber industri kosmetik tempatan yang enggan dikenali, kebanyakan produk kosmetik ‘timbang kilo’ ini diimport secara besar-besaran dari Thailand dan China sebelum dilabel semula dan dijual semula di pasaran tempatan.

“Produk ini datang dalam pelbagai gred, A hingga D. Kebanyakan pengasas di Malaysia akan pilih gred C sebab murah dan boleh keluarkan produk dalam kuantiti besar dengan kos rendah. Dengan hanya RM1,500, mereka boleh hasilkan 5,000 botol kecil,” katanya.

Produk murah itu dijual pada harga tinggi mencecah ratusan ringgit sebotol, sekaligus menghasilkan keuntu­ngan berlipat kali ganda, biar­pun merisikokan kesihatan kepada pengguna.

Adibah Aliah, 21, antara mangsa produk kosmetik beracun berkongsi kisah ngeri apa­bila wajahnya rosak akibat penggunaan produk pemutih mengandungi merkuri kerana mahu cantik segera.

“Dalam seminggu kulit saya bertukar putih dan licin, namun selepas beberapa bulan, ia jadi sensitif, tumbuh jerawat besar dan mengelupas.

“Saya kini terpaksa menjalani rawatan dermatologi berterusan yang menelan kos ratusan ringgit sebulan bagi memulihkan semula kesan kerosakan kulitnya itu.

“Sekarang saya trauma nak cuba sebarang produk tanpa nasihat pakar,” katanya.

Sementara itu, Ahli farmasi, Nurul Nabilah Hussain menegaskan, penggunaan produk bermerkuri atau mengandungi tretinoin tanpa kawalan boleh membawa risiko keracunan kronik dan gangguan sistem tubuh.

Katanya, bahan seperti mer­kuri boleh diserap ke dalam darah dan merosakkan buah pinggang serta otak.

“Kajian menunjukkan kesan jangka panjang termasuk ma­sa­lah mental, kebas dan dalam kes wanita hamil, ia boleh jejaskan perkembangan bayi dalam kandungan.

“Saya menggesa pihak ber­kuasa memperketat penguatkuasaan dan meningkatkan pemantauan terhadap penjualan dalam talian yang kini menjadi lubuk utama produk kosmetik haram,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna khususnya wanita menyemak status produk di laman NPRA dan elakkan membeli kosmetik yang tidak jelas status keselamatannya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN