MELAKA : Seorang pengasuh wanita di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) yang dikaitkan dengan insiden kematian bayi lelaki berusia enam bulan telah ditahan polis tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 26 tahun itu yang masih bujang ditahan pada pukul 12.10 tengah hari oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Wanita itu ditahan di hadapan taska terbabit di Padang Temu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian, pendedahan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati wanita itu negatif dadah dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh, esok bagi permohonan reman,” katanya kepada pemberita hari ini.
Media hari ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia di sebuah taska di Padang Temu di sini dipercayai akibat lemas selepas mangsa yang dibedung ditemui tertiarap di atas tilam, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, bayi berkenaan didakwa telah dikejarkan ke Klinik Utama Ujong Pasir oleh pihak pengasuh, namun disahkan meninggal dunia selepas dirujuk ke Hospital Melaka
Hasil pemeriksaan ke atas tubuh bayi tidak menemukan sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah sebelum pihak hospital membuat laporan polis. – UTUSAN