KUALA TERENGGANU: Pengantin baharu, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim yang maut dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi di Setiu, dekat sini semalam, dalam perjalanan menziarahi keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman, semasa nahas itu berlaku.
Nurly Shahirah yang berasal dari Besut, dekat sini adalah salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (URTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Adiknya, Wan Zainul Abidin, 33, berkata, Wan Hasbullah, 42, dalam perjalanan ke Besut untuk berkumpul dengan penunggang motosikal dari Kedah sebelum menziarah rumah keluarga Allahyarham Nurly Shahirah.
Katanya, mereka berjanji berkumpul di Besut dan berbincang mengenai perancangan menziarah keluarga arwah Nurly Shahirah.
“Tetapi tak sangka, dia pula ‘pergi’ dahulu. Lebih menyedihkan abang baru sahaja melangsungkan perkahwinan Jumaat lalu. Arwah pernah sebut nak buat kenduri September ini untuk raikan perkahwinan September ini namun tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wan Nazirah Wan Pauzi, 37, dan tiga anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu berusia antara sembilan tahun hingga 13 tahun yang masih.
Wan Hasbullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Tekukur, dekat sini merupakan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran dan aktif menyertai pelbagai misi kemasyarakatan termasuk membantu membaiki pondok di Thailand serta program khatan dan korban.
Solat jenazah Wan Hasbullah diadakan di Masjid Khalifah di sini malam tadi dengan dihadiri lebih 2,000 jemaah, sebelum dikebumikan sekitar pukul 10 malam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi pada semalam, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 yang ditungganginya merempuh sebuah kereta yang sedang membelok ke simpang sebelah kanan di Kampung Guntung, Setiu. – http://utusan.com.myUTUSAN