KUALA LUMPUR: Langkah proaktif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan dilihat mempercepatkan transformasi ibu negara ke arah menjadi sebuah bandar raya berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penerapan teknologi AI mempercepatkan pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan bandar.
Menurutnya, teknologi itu turut meningkatkan kecekapan pengurusan serta kualiti hidup penduduk.
“Inisiatif utama yang diketengahkan ialah pembangunan Digital Twin Kuala Lumpur iaitu replika maya bandar yang membolehkan simulasi dan analisis masa nyata terhadap dinamik bandar.
“Teknologi ini juga membantu dalam aspek perancangan, tindak balas kecemasan dan pengurusan sumber yang lebih cekap dan bersasar.
“Penggunaan teknologi ini mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selamat, menyenangkan dan mampan untuk warga kota,” katanya ketika melawat Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif berkata, projek tersebut bakal mempercepatkan transformasi ibu negara ke arah sebuah bandar pintar yang sebenar.
“Bulan sembilan lepas, kita telah mengadakan satu perbincangan dan antara hasilnya adalah menyediakan pelan ini.
“Saya sendiri pernah lihat teknologi ini dan yakin banyak manfaat akan diterima bila kita ada teknologi ini,” katanya.
Tambahnya, pendekatan bersepadu antara bandar-bandar utama di negara ini penting bagi mengelakkan pembaziran perbelanjaan serta meningkatkan keberkesanan pengurusan data bandar secara nasional.
“Sebelum ini ada bandar yang buat secara bersendirian, tetapi adalah lebih baik kita ada pendekatan integrasi.
“Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos tetapi juga meningkatkan fungsi data di peringkat bandar raya dan negara,” katanya. – UTUSAN










