Pendekatan Pembelajaran Digital: PAK Kembalikan Keyakinan Pelajar - Utusan Malaysia

Pendekatan Pembelajaran Digital: PAK Kembalikan Keyakinan Pelajar

Program Anak Kita melengkapi guru dengan kemahiran untuk mengenal pasti jurang pembelajaran, menyesuaikan pengajaran mereka dan memberikan sokongan emosi, terutamanya kepada murid yang berisiko tercicir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) memberi nafas baharu kepada dunia pendidikan apabila membuktikan keberkesanan pendekatan digital interaktif dalam membantu meningkatkan prestasi dan keyakinan diri pelajar di sekolah.

Pengetua SMK Taman Widuri, Norazimah Lokma berkata, pendekatan baharu itu bukan sahaja memudahkan guru menyesuaikan diri dengan tuntutan pendidikan semasa, malah berjaya menarik minat pelajar yang sebelum ini kurang memberi tumpuan di dalam kelas.

“Kita akui Program Anak Kita ini menyokong usaha guru dalam menghadapi cabaran pendidikan hari ini. Pelajar kini lebih berminat dan teruja dengan pembelajaran digital yang interaktif dan menyeronokkan, berbanding kaedah tradisional. Pembelajaran interaktif membantu guru mendapatkan idea baharu dan menarik minat murid,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pembelajaran secara digital membolehkan pelajar meneroka topik secara lebih mendalam dan tidak hanya bergantung kepada pengajaran guru di dalam kelas.

“Pelajar memperoleh asas pembelajaran daripada guru, manakala selebihnya dapat diperkukuh melalui akses kepada pelbagai sumber digital. Pendekatan ini membantu meningkatkan pemahaman dan mengasah daya fikir pelajar,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan program itu juga membantu meningkatkan minat pelajar terhadap subjek-subjek yang selama ini kurang diminati seperti Sejarah, Bahasa Melayu dan Matematik.

“Peningkatan minat pelajar sangat ketara, malah kita lihat prestasi mereka turut bertambah baik,” ujarnya.

Sementara itu, guru Bahasa Melayu merangkap penyelaras program tersebut, Rasitah Ibrahim berkata, Program Anak Kita memberi kesan positif terhadap keyakinan diri pelajar serta penguasaan teknik menjawab soalan.

“Mereka mendapat pendedahan melalui pembelajaran atas talian yang membantu mereka memahami soalan dengan lebih mendalam. Guru juga mendapat manfaat daripada latihan dan perkongsian ilmu oleh tenaga pengajar luar,” katanya.

Menurut beliau, maklum balas pelajar juga positif apabila mereka lebih memahami topik dan lebih bersemangat menyertai kelas.

“Pelajar turut dibekalkan contoh soalan SPM yang diberikan oleh ‘coaches’ daripada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mereka lebih yakin dan bersedia menghadapi peperiksaan. Pihak sekolah juga memantau perkembangan mereka secara berterusan, termasuk memberi motivasi dan bimbingan,” katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Faiz Daniel, 17, penyertaannya dalam program itu berjaya membentuk disiplin diri serta memberi arah tuju lebih jelas terhadap matlamat pembelajaran.

“Saya kini lebih berdisiplin dan boleh menguruskan masa untuk belajar. Fokus saya sekarang ialah untuk mendapat keputusan cemerlang dalam Sejarah dan Matematik, dua subjek yang sebelum ini lemah,” katanya.

Beliau berkata, melihat kejayaan rakan-rakan lain dalam program itu turut memberi motivasi untuk bersaing secara sihat bagi mencapai keputusan yang lebih baik.

“Saya lebih mudah bertanya dan berbincang dalam kelas. Keyakinan saya meningkat dan saya mahu terus memperbaiki keputusan peperiksaan,” ujarnya.

Sehingga Jun 2025, pelaksanaan Program Anak Kita telah mencatat kemajuan positif melalui dua bentuk intervensi utama iaitu kelas pengukuhan pemahaman bersama ‘coaches’ dan kelas BITARA bersama guru tutor.

Setakat ini, 40 jam intervensi pengukuhan pemahaman telah dijalankan bersama tenaga pengajar universiti manakala 26 jam intervensi BITARA bersama guru tutor juga berjaya dilaksanakan.

Rekod kehadiran pelajar juga menunjukkan peningkatan dengan 85 peratus kehadiran bagi kelas bersama coaches di seluruh negeri, manakala Pulau Pinang mencatatkan kehadiran lebih tinggi iaitu 88 peratus.

Sementara itu, bagi kelas BITARA bersama guru pakar, kehadiran keseluruhan mencecah 90 peratus, dan Pulau Pinang mencatatkan kehadiran yang tinggi dengan 91 peratus.

Program Anak Kita yang dijalankan di seluruh negara itu dilancarkan pada 27 September 2024 merupakan inisiatif penting dalam agenda reformasi pendidikan yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (MOE) di bawah mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program berfokuskan pelajar berisiko itu memberi penekanan kepada kesejahteraan holistik dan pembangunan akademik, sebagai sebahagian daripada aspirasi “Pendidikan Manusiawi”.

Ia dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dua kementerian dengan penglibatan tiga universiti awam termasuk USM sebagai rakan pelaksana dan tujuh pertubuhan masyarakat sivil (CSO), diterajui oleh Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional sehingga 31 Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN