GEORGE TOWN : Masyarakat perlu diberi pendedahan berterusan mengenai sejarah awal Pulau Pinang agar mereka lebih memahami perkara itu selain tidak terus ‘dikongkong’ dengan kerangka sejarah pemikiran kolonial pada masa depan.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin berkata, ini termasuk dakwaan popular mengenai pembukaan Pulau Mutiara oleh pelayar British, Kapten Francis Light pada 1786.
Beliau berkata, meskipun terdapat banyak kajian dewasa ini yang mengatakan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar, namun, masih banyak dokumen atau artikel yang menyokong perkara berkenaan di internet ketika ini.
“Kadang-kadang, kita tertanya-tanya. Mengapa perlu ada ‘founder’ (pengasas) untuk Pulau Pinang? Mengapa Langkawi atau pulau-pulau lain tidak ada ‘founder’? Ini pemikiran kolonial dan perkara ini sengaja dimomokkan oleh penjajah kerana Pulau Pinang sebenarnya penting sebagai sebuah pelabuhan pada waktu itu.
“Jadi, kita cuba timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai perkara ini melalui program khas seperti Wacana Menyingkap Naratif Sejarah Awal Pulau Pinang.
“Kita jemput juga pelajar-pelajar sekolah untuk turut-serta agar mereka dapat menjadi pemangkin kepada satu pemikiran baharu bahawa Pulau Pinang sememangnya punyai sejarah yang lebih awal (sebelum kedatangan Francis Light),” katanya.
Beliau yang juga pengerusi penganjur wacana itu ditemui selepas majlis perasmian wacana berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Muzium Pulau Pinang, Wong Hon Wai di sini, hari ini.
Sempena wacana itu, satu sesi perbincangan dan kupasan turut diadakan dengan disertai oleh beberapa ahli panel yang dijemput khas termasuk Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Prof. Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican serta beberapa tokoh sejarah yang lain.
Dalam pada itu, Hon Wai memberitahu, naratif sejarah yang dominan termasuk berkaitan pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light ini wajar untuk diberi penilaian semula pada masa ini.
Katanya, langkah tersebut bukan bertujuan menolak sejarah sedia ada, tetapi, untuk melengkapkan dan memperkayakannya dengan sumber serta perspektif baharu.
“Di sinilah pentingnya wacana seperti ini yang memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk menyumbang serta berkongsi pemikiran dan dapatan kajian kepada naratif sejarah yang lebih seimbang, adil dan inklusif selaras dengan falsafah sejarah itu sendiri sebagai sebuah kehidupan,” ujar beliau.-UTUSAN