Penangan Juicy Luicy jadi taruhan di RIF 2025 - Utusan Malaysia

Penangan Juicy Luicy jadi taruhan di RIF 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan pop terkenal Indonesia, Juicy Luicy bakal menggegarkan Ruang Inspirasi Festival (RIF) fasa pertama yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 17 Ogos ini.

Konsert anjuran Expoindo bersama penganjur tempatan, Thrive itu turut menampilkan konsep yang lebih segar dengan menggabungkan persembahan muzik dan perkongsian kisah di sebalik karya-karya popular artis tersebut.

Menurut Bram Tulong selaku wak Expoindo, kemunculan Juicy Luicy sebagai pemain utama di pentas mega itu nanti mampu memberikan penangan yang luar biasa buat peminat muzik tempatan.

“Kumpulan ini tidak asing bagi peminat muzik tempatan menerusi lagu-lagu hits mereka seperti Lantas, Lampu Kuning, Sialan dan banyak lagi.

“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat.

“Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Tambahnya lagi, edisi kali ini bakal memberikan pengalaman yang berbeza kepada penonton dengan penganjuran dua sesi dalam satu hari iaitu pada waktu tengah hari dan malam.

“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh. Ada ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” katanya.

Difahamkan, RIF bakal mengumumkan artis fasa kedua akan dibuat tidak lama lagi sekali gus menjaminkan sebuah gabungan yang cukup memberi inspirasi kepada semua.

Expoindo bagaimanapun berharap festival ini mampu menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia dengan meluaskan lagi penganjurannya di bandar utama yang lain di Malaysia.

Tiket untuk persembahan malam Juicy Luicy telah mula dijual sejak 3 Julai 2025 menerusi aplikasi BBO Events dan laman rasmi ri-fest.com/kualalumpur.

Harga tiket bermula dari RM128 (Presale Silver-Seated) sehingga RM528 (Presale VVIP-Seated), serta tambahan RM150 untuk pakej beramah mesra dan bergambar bersama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN