PETALING JAYA: Pelakon, Sarimah Ibrahim kesal apabila anak perempuannya, Tunku Sofia Najihah menjadi mangsa buli dan ejekan fizikal pada usia enam tahun.
Menurut Sarimah, penampilan puteri kesayangannya itu dikritik oleh sesetengah pihak kerana rambutnya tidak lurus dan berkaca mata.
“Sekarang orang dah mula buli dan mengejek fizikal anak saya.
“Umur pun belum sampai enam tahun, tapi dah ada yang komen tentang rambut dan penampilan dia,” katanya dalam audio siar, Kita Kita Aje.
Enggan perkara itu mengganggu emosi anaknya, Sarimah sebagai ibu memaklumkan dirinya banyak memberi kata-kata semangat buat Tunku Sofia supaya dapat menikmati usia kanak-kanak secara normal.
Tambah pelakon drama Ternyata Sebuah Bahagia itu, dia juga tidak mendesak anaknya untuk kelihatan matang sebelum usia demi memuaskan hati sesetengah pihak.
“Saya yang kena beritahu dia untuk abaikan apa orang cakap dan yakinkan dia dengan kata-kata, ‘you are you’.
“Penampilan itu sementara. Sebab mereka budak-budak dan akan berubah. Itulah zaman kanak-kanak.
“Takkanlah saya nak solek dia dan suruh dia membesar terlalu cepat. Dia budak, biarlah dia jadi budak,” ujarnya.
Sekadar info, Che Puan Sarimah mendirikan rumah tangga bersama kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar pada 2015.
Hasil perkahwinan tersebug, mereka dikurniakan seorang puteri, Tunku Sofia Najihah.-UTUSAN