ALOR SETAR: Jabatan Penjara mencatat kejayaan signifikan menerusi pelaksanaan program pemulihan banduan dalam komuniti, dengan kadar pengulangan kes (recidivism) yang amat rendah iaitu hanya 0.28 peratus tahun lalu.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang berkata, kadar itu jauh lebih rendah berbanding 11.6 peratus dalam kalangan individu yang dilepaskan ke masyarakat tanpa melalui proses pemulihan itu.
“Jadi berdasarkan kejayaan daripada prospek program ini, memang hasrat kita dan kerajaan untuk menambah dan memperkasakan program pemulihan dalam komuniti ini.
“Untuk menjayakan program itu, kita tidak boleh elak daripada memerlukan kerjasama yang erat masyarakat, khususnya pemain-pemain industri di negara kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Kedah antara Timbalan Komisioner Penjara (TKP) C. Charin Promwichit dan TKP Rahmat Abdul Rani.
Beliau berkata, sebanyak 689 pemain industri dari seluruh negara berdaftar dan bekerjasama dengan jabatan tersebut dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada prospek yang mengikuti program pemulihan.
“Setakat ini, lebih 7,500 peluang pekerjaan disediakan merangkumi lima sektor utama iaitu perkhidmatan, perdagangan, perhotelan, perkhidmatan dan perladangan,” jelasnya.
Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, jelas beliau, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan jumlah peluang pekerjaan kepada 10,000 sehingga hujung tahun ini berbanding sasaran awal 8,500.
“Masih ramai pemain industri yang menawarkan untuk bekerjasama dengan kita melalui program ini. Jadi kita nak lonjakan sasaran itu,” katanya. – UTUSAN