DUNGUN: Kegembiraan empat sahabat berkelah di kawasan Air Terjun Lubuk Kain di Kampung Shukor, Hulu Dungun, di sini, berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas.
Mayat mangsa, Muhammad Asri Anuar, 21, yang merupakan pekerja minyak dan gas di Kerteh, ditemukan di dasar air terjun, kira-kira pukul 1.40 petang ini.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya yang tiba di kawasan rekreasi itu kira-kira pukul 12 tengah hari mandi di kawasan bawah sungai tersebut.
Bagaimanapun, mangsa dan salah seorang rakannya kemudiannya ke lokasi yang lebih cantik dan berbatu yang merupakan kawasan larangan mandi, sebelum dia bertindak terjun ke kawasan air terjun itu.
Rakan mangsa yang menyedari mangsa tidak timbul menghubungi pasukan penyelamat dan meminta bantuan penduduk kampung.
Sementara itu, penduduk, Zakaria Mahusin, 68, berkata, dia dan seorang pemuda di kampung itu bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa selepas diberitahu ada lelaki lemas di kawasan berkenaan.
“Kawasan ini tak ramai yang berani mandi. Saya sudah biasa terjun mencari mangsa lemas. Tadi, kami berdua menyelam beberapa kali sebelum menemukan mangsa berada di dasar sungai.
“Kami ikat badan mangsa dan bawa dia ke atas dan ketika itu dia sudah tidak bernyawa,” katanya yang terkilan gagal menyelamatkan mangsa.
Zakaria berkata, penduduk sentiasa mengingatkan pengunjung di kawasan rekreasi itu supaya tidak mandi di kawasan yang terdapat lubuk yang dalam memandangkan kawasan itu sering berlaku kejadian lemas.
“Kawasan Air Terjun Lubuk Kain ini memang cantik dan sering dikunjungi ramai, namun ada kawasan yang dilarang mandi. Lokasi lemas hari ini pun berlaku di kawasan yang telah mempunyai papan tanda larangan mandi dan difahamkan setakat ini kawasan larangan ini telah meragut 14 nyawa,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan mengenai kejadian. – UTUSAN