BUTTERWORTH : Seorang pemuda berdepan detik-detik mencemaskan apabila motosikal yang ditungganginya dihempap oleh sebatang pokok yang tumbang berhampiran kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Jalan Teluk Air Tawar di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.23 pagi itu, mangsa, Muhammad Arif Hafiz Rosli, 21, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, selain motosikal jenis Yamaha LC135, insiden pokok tumbang itu turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.
Katanya, pemandu MPV tersebut, Roszailullail Ahmad Yazi, 59, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu, beliau memberitahu, seramai enam anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dikejarkan ke lokasi dengan dibantu oleh beberapa agensi.
“Antara agensi terlibat termasuk polis, TUDM, KKM (Kementerian Kesihatan), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai).
“Kerja-kerja pemotongan pokok pula dilakukan dengan menggunakan peralatan khas kebombaan bagi mengalihkan halangan dan memastikan kawasan selamat,” katanya yang memaklumkan, operasi tersebut tamat sepenuhnya kira-kira pukul 9.19 pagi tadi.
Difahamkan, ketika kejadian, hujan lebat dan nilai sebenar kerosakan masih belum dikenal pasti buat masa ini.-UTUSAN