SEPANG: Pergi berdua tetapi pulang ke tanah air seorang diri. Itu nasib menimpa seorang bekas pengawal peribadi selepas terputus hubungan dengan tunangnya sejak beberapa minggu lalu akibat dilarikan sindiket penipuan kerja di Kemboja.
Sebelum ini, lelaki berusia 25 tahun berasal dari Jengka, Pahang bersama tunangnya itu menjadi ‘hamba’ sindiket di Kemboja sejak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, dia kini sudah diselamatkan dan tiba di tanah air malam tadi namun, nasib tunangnya masih kabur.
Dia yang enggan dikenali berkata, sebelum diselamatkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), dia telah pun terpisah dengan tunangnya kerana dipindahkan ke kem lain.
“Saya hanya mampu berdoa agar tunang saya dapat diselamatkan segera,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 2, di sini, malam tadi.
Katanya, selain dipukul, dia juga nyaris ditembak majikan malah, kerap dipukul dan diseksa kerana enggan melakukan kerja ‘scammer’.
Jelasnya lagi, dia juga telah dijual kepada sindiket lain namun, belum sempat dipindahkan lokasi sindiket diserbu pihak berkuasa Kemboja sebelum diselamatkan.
Menurutnya, dia ditawarkan pekerjaan di Kemboja oleh rakannya, dengan dijanjikan gaji sebanyak AS$5,000, namun lain yang berlaku sebaik tiba di negara berkenaan apabila telefon bimbit dan pasportnya dirampas.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim ketika ditemui berkata, pihaknya memohon bantuan pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja untuk menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelamatkan mangsa.
Ditanya mengenai nasib tunang mangsa, Hishamuddin berkata, pihaknya akan berusaha menyelamatkan wanita itu daripada cengkaman sindiket berkenaan. – UTUSAN