Pemindahan air Sungai Perak ke Bukit Merah dibawa dalam mesyuarat Kabinet - Utusan Malaysia

Pemindahan air Sungai Perak ke Bukit Merah dibawa dalam mesyuarat Kabinet

SAARANI Mohamad (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada pembeli sebagai simbolik majlis penyerahan kunci kepada pembeli unit Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14 Lekir, Manjung hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah akan dibawa ke Kabinet dalam usaha mengatasi masalah kekeringan tasik yang menjejaskan para petani di utara negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya semalam telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kita dimaklumkan menjelang Ogos ini, kertas jemaah menteri akan dibawa masuk (mesyuarat Kabinet). Kita minta sebelum kertas itu dibawa masuk dan diluluskan oleh Kabinet, terlebih dahulu dibincangkan dengan kerajaan negeri,” katannya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa majlis penyerahan kunci kepada pembeli unit Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14 Lekir, di sini hari ini.

Pada Ogos 2024, Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju meluluskan anggaran peruntukan RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian.

Musim kemarau sering melanda utara negeri Perak sehingga menyebabkan Tasik Bukit Merah kering selain berlakunya kekeringan Tasik Taiping pada hujung Julai 2024 yang disifatkan satu fenomena luar biasa.

Masalah kekeringan yang berulang pada waktu ini telah menyebabkan para pesawah menggesa agar pelaksanaan projek pemindahan air itu dipercepatkan.

Saarani berkata, perbicangan dengan Fadillah turut tertumpu kepada isu jajaran laluan pemindaran air agar tidak mengakibatkan bencana alam, menjejaskan penduduk serta tidak melibatkan proses pengambilalihan tanah yang banyak.

Beliau tidak dapat meramalkan bila projek itu akan siap, namun melihat jangkaan penyiapan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) pada awal 2029 sebagai kemungkinan petunjuk garis masa.

“Itu KIGIP. Tetapi yang penting ialah untuk menyelesaikan masalah air untuk tanaman kepada petani-petani. Kita menyasarkan lagi cepat lagi baik. Apabila hendak lakukan pembenihan awan tidak boleh, kerana bergantung kepada angin. Jadi kita hendak supaya projek ini dapat disegerakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis penyerahan kunci kepada para pembeli bagi 60 unit Rumah Perakku melibatkan rumah teres setingkat kos rendah yang ditawarkan pada harga serendah RM85,000.

Sepanjang tahun 2025, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menyasarkan untuk menyiapkan tiga lagi projek, menjadikan keseluruhan 14 projek siap melibatkan 1,388 unit Rumah Perakku dan 882 unit Rumah Perwira di seluruh negeri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN