Pemilik Menara Ilham cabar sitaan SPRM

Pemilik Menara Ilham cabar sitaan SPRM

MENARA ILHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilik Menara Ilham telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyita premis tersebut buat kali kedua, Jun lalu.

Ilham Tower Sdn. Bhd. selaku pemohon merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang dimiliki oleh keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan pemilik berdaftar Menara Ilham.

Mereka menamakan Penguasa Kanan Suruhanjaya, Mohd. Razi Rahhim @ Rahim; Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM, Pendakwa Raya; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Jun lalu dan sesalinan dokumen berkenaan diperolehi media hari ini. Hari ini juga merupakan pengurusan kes kali pertama permohonan tersebut.

Pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh di sini, Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili kesemua responden memaklumkan, pihaknya akan memfailkan bantahan terhadap permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian mengarahkan untuk memfailkan surat bantahan beserta alasan-alasan bantahan. Hakim Amarjeet turut menetapkan 18 September untuk pendengaran bantahan tersebut pada 18 September ini.

Pada prosiding hari ini, pemohon diwakili peguam-peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.

Menurut permohonan semakan kehakiman difailkan, Ilham Tower mendakwa notis penyitaan kali kedua bertarikh 4 Jun lalu adalah cacat, tidak mematuhi keperluan-keperluan prosedur sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 51(1A) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Responden-responden juga gagal menampal notis di tempat awam sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang sebaliknya meluangkan masa untuk mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung penyitaan tersebut.

“Responden Keempat (SPRM) juga menyatakan bahawa dengan penyitaan Menara Ilham semua transaksi atau pemindahan hak milik yang melibatkan Menara Ilham kini akan dilarang. Kenyataan ini agak jelas salah kerana tiada penyerahan yang telah dilaksanakan kepada pemohon.

“Pengeluaran notis penyitaan kedua merupakan penyalahgunaan proses dan kuasa. Notis penyitaan kedua bertindih dan merupakan (satu) percubaan untuk memintas secara salah tempoh masa selama 18 bulan untuk penyitaan pertama Menara Ilham yang telah tamat pada 17 Jun lalu,” menurut afidavit sokongan permohonan tersebut.

Selain itu, Ilham Tower berkata, walaupun notis sitaan kali pertama telah dikeluarkan pada 18 Disember 2024, tiada sebarang pendakwaan atau pertuduhan dibuat terhadap Daim bagi menunjukkan bahawa premis tersebut mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kesalahan bawah Akta SPRM.

“Sejak pengeluaran notis penyitaan pertama, tiada sebarang bukti yang telah dikemukakan yang mengaitkan pemohon atau Allahyarham Daim kepada mana-mana kesalahan khusus di bawah Akta SPRM 2009 atau AMLA 2001 atau mana-mana Akta yang lain untuk pengubahan wang haram atau rasuah,”katanya.

Tambahnya, tindakan penyitaan kali kedua tersebut adalah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan kerana menafikan hak pemohon untuk menggunakan dan menikmati harta tersebut.

Tindakan itu juga telah menyebabkan Ilham Tower kehilangan sewa yang ketara, kemudaratan reputasi sebagai pemilik hartanah dan penyusutan nilai hartanah. 

“Penafian hak milik Pemohon yang berpanjangan dan sewenang-wenang, tanpa sebarang pertuduhan atau pendakwaan rasmi bukan sahaja amat tidak adil malah berisiko menjadikan semakan kehakiman ini sia-sia,” katanya.

Sehubungan itu, Ilham Tower antaranya memohon satu deklarasi bahawa perintah untuk notis penyitaan kali kedua tersebut adalah terbatal dan tidak sah.

Pemohon juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis yang telah dikeluarkan, perintah mandamus mengarahkan responden membatalkan notis terbabit

Ilham Tower juga memohon satu perintah untuk menggantung notis penyitaan tersebut sehingga pelupusan semakan kehakiman ini, ganti rugi, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN