Pemilik kopitiam didakwa merasuah penguat kuasa PBT

Pemilik kopitiam didakwa merasuah penguat kuasa PBT

TAN KAI DEE didakwa memberi rasuah kepada penguat kuasa MBIP sebanyak RM 2,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik kopitiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan memberi rasuah kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebanyak RM2,000, akhir tahun lalu.

Tertuduh, Tan Kai Dee, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kai Dee didakwa memberi suapan RM2,000 kepada pembantu penguat kuasa MBIP agar tidak mengambil tindakan terhadap sebuah restoran kopitiam di Jalan Mutiara 1/4, Taman Mutiara Mas, di sini pada pukul 6.20 petang, 4 November lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D’aneez Mohd. Shukari meminta mahkamah memberikan jaminan RM10,000 berserta beberapa syarat tambahan bagi mengelakkan tertuduh melarikan diri, namun peguam bela, K. Barathi memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana tertuduh turut menanggung seorang isteri dan dua ibu bapanya.

“Tertuduh berpendapatan RM2,500 sebulan, sudah berkahwin namun masih belum memiliki cahaya mata,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali, selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN