Pembinaan Kota Madani demi keperluan penjawat awam

Pembinaan Kota Madani demi keperluan penjawat awam

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang gesaan untuk menghentikan pembinaan Kota Madani hanya akan menidakkan keperluan untuk menyelesaikan isu perumahan yang dihadapi penjawat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pembinaan tersebut adalah untuk keselesaan penjawat awam yang 60 peratus daripadanya menetap di Putrajaya. 

“Kota Madani ini adalah satu keperluan. Seperti yang saya sebut dalam ucapan saya juga, bahawa mereka yang menunggu, terutamanya penjawat awam ini, ramai sehingga 17,000 orang.

“Maka unit yang kita bina nanti untuk dalam Kota Madani, lebih kurang 10,000 orang, ia akan membantulah sedikit sebanyak untuk menyelesaikan masalah rumah ataupun kuarters yang diperlukan oleh penjawat awam. 

“Jadi saya tidak setuju jika dinyatakan bahawa ia harus dilewatkan pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK)  Sri Bintang Utara di sini hari ini. 

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa kerajaan menghentikan cadangan pembinaan Kota Madani ketika hutang negara didakwanya semakin melebar dan ekonomi rakyat kian menghimpit.

Katanya, pembinaan Kota Madani bernilai sekitar RM4 bilion sedangkan rakyat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup, kenaikan cukai, pemotongan subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam perkembangan lain Zaliha berkata, pihaknya kini dalam proses pemutihan dan saringan  bagi memastikan hanya benar-benar layak sahaja dapat menerima manfaat  Projek Perumahan Rakyat (PPR)

“Kita kena melihat kepada keutamaan dan mereka yang betul-betul layak, sebab ada juga di antara mereka contohnya kita dapat laporan mereka yang tinggal di PPR itu bukan daripada mereka yang asalnya meminta tapi kemudian disewakan atas orang lain. 

“Jadi itu kita akan ambil tindakan, ada juga tunggakannya banyak. Jadi kita juga akan ambil tindakan ke atas mereka-mereka yang kita dapati menyewakan unit itu kepada orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN