KUALA LUMPUR: Agenda persidangan Dewan Rakyat hari ini memberi tumpuan kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bakal merangka hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang bermula 2026 hingga 2030.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan RMK13 pada pukul 12 tengah hari selepas selesai sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan soal jawab lisan yang bermula pukul 10 pagi.
Persidangan Dewan Rakyat akan ditangguhkan sebaik sahaja selesai pembentangan tersebut sebelum sesi perbahasan mengenai RMK13 dijangka berlangsung selama lapan hari bermula Isnin hadapan, manakala sesi jawapan menteri-menteri dijadual selama empat hari bermula 18 Ogos.
Perdana Menteri berkata, RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dan dirangka sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus meningkatkan kemajuan negara secara adil dan saksama tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan rakyat.
“Penyediaan pelan itu turut melibatkan sesi libat urus menyeluruh merentasi pelbagai sektor, latar belakang dan wilayah termasuk kerajaan negeri bagi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara,” kataya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Sementara itu, isu berkaitan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli serta proses pendaftaran penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.
Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) dijangka bertanyakan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sama ada kerajaan bercadang meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang sedang berkuat kuasa, bagi menjamin perlindungan hak dan pembangunan komuniti tersebut.
Sementara itu, Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) pula akan bertanyakan kepada Menteri Kewangan mengenai proses pendaftaran serta kriteria kelayakan untuk menerima dan membelanjakan RM100 di bawah inisiatif SARA untuk semua. – UTUSAN