PETALING JAYA: Operasi pembenihan awam belum dapat dijalankan di kawasan utara semenanjung Malaysia berikutan keadaan cuaca semasa yang tidak sesuai.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, antara faktor perlu diambil kira sebelum pembenihan awam dijalankan termasuklah dari segi kelembapan udara yang tinggi, kewujudan awan kumulus menara di lokasi yang diperlukan serta tahap kestabilan atmosfera
Katanya, berdasarkan analisis daripada model-model ramalan cuaca semasa, pihaknya menjangkakan keadaan cuaca dijangka mengalami kurang hujan dan kering sehingga penghujung bulan ini.
“Ia berikutan aktiviti siklon tropika yang aktif di barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.
“Situasi sebegini akan menyebabkan pembenihan awam tidak sesuai untuk dijalankan. Bagaimanapun, sekiranya terdapat perubahan cuaca yang signifikan berdasarkan kemaskini model-model ramalan cuaca, kami akan memaklumkan kepada pihak yang terlibat jika diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan pihaknya akan mengusahakan operasi pembenihan awam sebagai langkah mengatasi isu kritikal paras air di Empangan Bukit Merah.
Mohd. Hashim berkata, cuaca panas yang dijangka berlanjutan hingga akhir bulan ini berada dalam kategori biasa dan belum mencapai tahap gelombang haba atau cuaca ekstrem.
Katanya, berdasarkan rekod suhu maksimum terdahulu, cuaca panas ekstrem di negara ini kebiasaannya berlaku antara Mac hingga Jun setiap tahun.
“Dengan bacaan indeks El-Nino Ayunan Selatan (ENSO) yang diramal berada pada nilai neutral hingga hujung tahun ini, maka dijangkakan tidak akan berlaku keadaan cuaca panas ekstrem pada Monsun Barat Daya kali ini,” katanya.
Namun begitu, pihaknya tetap menasihatkan orang awam supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap cuaca panas dan sentiasa mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi mereka.-UTUSAN










