JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-hailing berputih mata apabila mengalami kerugian sehingga RM301,300 akibat terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa merupakan lelaki berusia 67 tahun mendakwa kejadian mula berlaku pada April lalu apabila dia terpedaya dengan helah seorang wanita tempatan yang baru dikenalinya.
Katanya, wanita itu memperkenalkan mangsa kepada satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat melibatkan saham luar negara.
“Mangsa yang percaya akan janji wanita tersebut telah melakukan sebanyak 11 transaksi ke keempat-empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM301,300.
“Mangsa bagaimanapun tidak menerima sebarang keuntungan sebaliknya diminta untuk membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran hasil keuntungan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Sohaimi berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburannya gagal.
Katanya, warga emas lelaki itu tampil membuat laporan polis pada Isnin lalu selepas wanita terbabit tidak dapat dihubungi lagi.
“Siasatan awal melalui platform Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati tiga daripada akaun yang digunakan mempunyai rekod 27 laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan berkaitan penggunaan akaun atau instrumen pembayaran bagi tujuan jenayah,” katanya. – UTUSAN











