JOHOR BAHRU: Seorang pelayan pusat karaoke berdepan hukuman mati selepas didakwa atas empat pertuduhan memiliki dan mengedar dadah lebih 20 kilogram (kg), dua minggu lalu.
Tertuduh, Chung Vui Kit, 39, mengangguk faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab dan Nabilah Nizam.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Di hadapan Atifah Hazimah, dia didakwa mengedar dadah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 81 gram di tepi jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini pada pukul 1.55 petang, 10 Julai lalu.
Di hadapan Nabilah pula, dia didakwa dengan tiga pertuduhan, iaitu mengedar dadah jenis MDMA seberat 20.5 kilogram, memiliki dadah jenis ketamin seberat 151 gram dan memiliki dadah jenis nitrazepam seberat 151 gram.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah kedai di Jalan Sutera 2, Taman Sutera di sini pada pukul 3.40 petang, 10 Julai lalu.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Goh Sze Han dan Ahmad Yusry Ahmad Fuad. – UTUSAN











