KUALA LUMPUR: Pelakon, Keith Foo memaklumkan dia juga sering mendapatkan pandangan pelakon baru untuk memperbaiki lakonannya.
Malah Keith mengakui beruntung kerana teman wanitanya yang juga pelakon baharu, Riena Diana selalu berkongsi pandangan dan idea mengenai cara menghidupkan karakter yang dilakonkan.
“Tidak kiralah pelakon baru atau lama, semuanya memiliki pengalaman masing-masing.
“Sebab itu saya juga tidak teragak-agak untuk belajar dan meminta pandangan dari pelakon junior seperti Riena. Pelakon lama juga belajar sesuatu dari pelakon baharu.
”Pada saya itu adalah proses pembelajaran dan pertukaran idea,” katanya pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, pelakon berusia 40 tahun itu juga menegaskan dia tidak pernah meletakkan syarat atau menghalang kekasihnya itu berlakon dengan pelakon lelaki lain.
”Tiada istilah cemburu apabila kami berlakon dengan pelakon lain.
“Ada masanya kami sesama sendiri akan bagi idea untuk menghidupkan watak yang kami lakonkan.
“Bidang lakonan ini mata pencarian kami, jadi kenalah bersikap profesional,” kongsinya. – UTUSAN