PDC komited bantu siasatan terhadap projek PWC

PDC komited bantu siasatan terhadap projek PWC

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberi jaminan akan bekerjasama dengan pihak polis berhubung siasatan Pasukan Petugas Khas Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman terhadap projek Penang World City (PWC) yang dikaitkan dengan skim pelaburan Mobility Beyond Imagination (MBI).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi PDC, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, pegawai daripada pasukan AMLA Bukit Aman itu telah pun mengunjungi PDC sebagai sebahagian daripada siasatan berskala nasional terhadap skim pelaburan MBI iaitu pada 9 Julai lalu.

“Lawatan tersebut dijalankan mengikut prosedur AMLA dan merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menjejak dan mengesahkan aliran dana yang berkemungkinan berkaitan dengan skim tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PDC akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pasukan Petugas Khas Bukit Aman dalam usaha menyiasat sebarang kemungkinan penglibatan aliran dana mencurigakan berkaitan skim pelaburan MBI,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Pada Mac lalu, Kon Yeow menegaskan bahawa PDC tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan skim MBI kerana dakwanya, PDC menjalankan penjualan tanah mengikut prosedur yang ditetapkan dan bukan terlibat dalam transaksi melibatkan MBI.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, surat permohonan rasmi daripada pasukan petugas pada 9 Julai lalu telah dikemukakan kepada PDC pada hari yang sama dan meminta penyerahan minit mesyuarat dan dokumen kewangan berkaitan projek PWC.

“Ia berkaitan dokumen berkenaan bayaran yang dibuat kepada PDC bagi pembelian tanah oleh Mutiara Metropolis Sdn Bhd (MMSB), yang sebelum ini dikenali sebagai Tropicana Ivory Sdn Bhd (TISB).

“Fokus siasatan, seperti yang dimaklumkan kepada PDC, adalah untuk meneliti sama ada dana yang dibayar kepada PDC oleh MMSB antara tahun 2011 hingga 2019 mempunyai kaitan dengan penipuan skim MBI,” kata Kon Yeow.

Tambahnya, pada 18 Julai lalu selaras dengan permintaan tersebut dan sebagai sokongan terhadap siasatan yang sedang dijalankan, PDC telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan termasuk minit mesyuarat dan rekod kewangan kepada Pasukan Petugas Khas Bukit Aman.

“Setakat ini, terdapat empat perjanjian yang telah dimeterai berkaitan projek PWC sejak tahun 2011, termasuk perjanjian asal serta beberapa perjanjian tambahan dan novasi antara PDC, Ketua Menteri Pulau Pinang (Pemerbadanan) (CMI) dan syarikat pemaju terlibat.

“PDC mengulangi komitmennya terhadap ketelusan, integriti dan kerjasama penuh dengan semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan dan terus menyokong pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×