KOTA BHARU: Pasukan bola sepak Pasir Puteh menamatkan penantian selama lapan tahun apabila merangkul kejuaran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSD) Bawah 18 tahun selepas menewaskan Pasir Mas 1-0 pada aksi final yang berlansung Stadium Kijang Emas di sini semalam.
Pada perlawanan itu, Baihaki Ibrahim muncul apabila meledakan jaringan tunggal pada minit ke 45 sekali gus membolehkan Pasir Puteh yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman mendakap kejuaraan tersebut.
Ketua jurulatih Nor Azman Mohamad Zain berkata, kemenangan itu hasil semangat berpasukan yang ditunjukan oleh seluruh barisan pemain sepanjang mengharungi saingan tersebut.
“Perjalanan yang kami lalui sepanjang kejohanan ini bukan mudah, Alhamdulillah mental barisan pemain saya cukup kental apabila berjaya mengharungi cabaran itu dengan baik.
“Saya berterima kasih kepada seluruh pemain yang bermain dengan begitu baik dan mengikut segala taktikal yang telah diterapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nor Azman memberitahu, kejayaan ini meletakan Pasir Puteh berada di landasan terbaik untuk membawa nama Kelantan dipentas Majlis Sukan-Sekolah Malaysia (MSSM) nanti.
Katanya, dia akan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan prestasi terbaik ini berjaya dikekalkan.
Terdahulu, SMK Sri Aman melangkah ke pentas final selepas menewaskan
Kota Bharu Utara 2-1 pada aksi separuh akhir.