KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil pendekatan berperingkat bagi memperkenalkan tenaga nuklear sebagai antara sumber penjanaan campuran tenaga negara selaras dengan sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tenaga nuklear dikenal pasti teknologi berpotensi tinggi untuk menjadi sumber tenaga beban asas (baseload) yang bersih, stabil dan mampan dalam usaha peralihan tenaga daripada penggunaan bahan api fosil.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada penilaian menyeluruh terhadap kesiapsiagaan negara dari aspek dasar, teknikal, institusi, perundangan, keselamatan, pembangunan sumber manusia, ekonomi dan kesedaran masyarakat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) mengenai kedudukan tenaga nuklear dan hidrogen dalam strategi transisi tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, MyPOWER telah dilantik sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) selaras saranan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi negara yang mahu memperkenalkan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan.
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh MyPOWER ialah pembangunan dasar dan pengukuhan rangka kerja perundangan, kajian teknikal dan kebolehlaksanaan terhadap teknologi reaktor nuklear bersesuaian.
Meskipun tenaga nuklear tidak dimasukkan dalam NETR ketika ia dilancarkan pada 2023, kerajaan kini bersedia meneroka potensinya sebagai antara sumber baharu untuk menyokong permintaan elektrik yang semakin meningkat, selain teknologi hidrogen yang turut diangkat sebagai sumber tenaga alternatif.
“Penggunaan tenaga nuklear dan hidrogen bukan sahaja mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan mengukuhkan keselamatan tenaga negara, malah berperanan sebagai pemangkin kepada peralihan ekonomi daripada bahan api fosil kepada ekonomi bersih bernilai tinggi,” katanya.
Kata beliau, tenaga nuklear mampu menyumbang bagi menggantikan loji-loji arang batu yang bakal ditamatkan secara berperingkat menjelang 2044, serta menampung kekurangan tenaga boleh baharu (TBB) seperti solar dan angin yang bersifat tidak stabil.
“Kerajaan komited untuk melaksanakan pembangunan tenaga nuklear dan hidrogen secara bertanggungjawab dan berlandaskan prinsip peralihan adil (just transition) dalam merealisasikan aspirasi NETR menjelang 2050,” katanya. – UTUSAN











