PARLIMEN: Takiyuddin persoal dakwaan pemberi maklumat skandal mineral Sabah

PARLIMEN: Takiyuddin persoal dakwaan pemberi maklumat skandal mineral Sabah

Pas Kerajaan
TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan tindakan kerajaan mendakwa individu yang didakwa sebagai pemberi maklumat dalam kes berkaitan skandal mineral di Sabah.

Beliau berkata, individu berkenaan, Albert Tei, bukan sahaja membuat pendedahan kepada media, malah turut tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apa yang menarik perhatian saya adalah walaupun akta ini sepatutnya memberi manfaat besar dalam usaha memerangi rasuah, kita dapati pelaksanaanya (akta) agak sukar.

“Sebagai contoh, berdasarkan jawapan yang diberikan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam,” katanya ketika membahaskan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711) di Dewan Rakyat.

Takiyuddin turut membangkitkan persoalan sama ada prinsip subjudis digunakan secara tepat apabila menteri enggan mengulas isu tersebut.

“Bukan semua perkara yang dibawa ke mahkamah adalah subjudis. Hanya jika kenyataan yang dibuat boleh mendatangkan prejudis kepada kes, barulah ia dianggap subjudis.

“Saya sekali lagi menuntut jawapan daripada Menteri, kenapa pemberi maklumat dalam kes mineral Sabah telah dituduh di mahkamah dan tidak diberikan jaminan serta perlindungan sewajarnya?” solanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegur segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan kerajaan mendakwa pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat terus kepada media.

Beliau berkata, ia menjadi amalan global bahawa pemberi maklumat perlu melaporkan pendedahan mereka kepada agensi berkaitan terlebih dahulu, bukan kepada media.

“Ia bertujuan membolehkan agensi yang bertanggungjawab menyemak kesahihan maklumat, menilai risiko keselamatan dan mengelakkan penyalahgunaan sistem.

“Jika maklumat terus didedahkan kepada media, ia boleh mencetuskan keadaan ‘perbicaraan oleh media’, di mana orang awam membuat penilaian sendiri terhadap kesalahan yang berlaku. Ini jelas tidak adil kepada sistem perundangan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Pada 8 Jun lalu, SPRM mengesahkan individu yang bakal didakwa bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung skandal rasuah berkaitan lesen cari gali di negeri itu tidak layak menerima perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Seksyen 11(1) akta berkenaan memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang terlibat secara langsung dalam kesalahan yang didedahkannya sendiri, tidak layak memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat atau whistleblower. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN