KUALA LUMPUR: Kaedah penyerahan pasport secara digital bagi mengurangkan pergerakan ke pejabat cawangannya secara fizikal kini sedang dipertimbangkan untuk jemaah haji.
Langkah tersebut akan diusahakan Lembaga Tabung Haji (TH) dan dijangka akan dilaksanakan dalam satu tempoh yang akan diumumkan nanti.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata ia adalah antara usaha dilaksanakan agensi kerajaan itu untuk menambah baik perkhidmatan kepada 9.68 juta pendepositnya.
“Saya berharap agar pentadbiran dan pengurusan haji terus terbaik di dunia. Insya-Allah,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung penambahbaikan yang dilakukan oleh TH untuk musim Haji tahun ini.
Zulkifli berkata sepanjang musim Haji 2025, TH memperkenalkan pelbagai sistem dan penggunaan teknologi seperti GoogleWalk, e-bimbingan dan THhujjaj bagi memudahkan pengurusan serta pemantauan jemaah di Tanah Suci.
Menurut beliau lagi, buku rawatan jemaah Haji digital diperkenalkan bagi membantu petugas perubatan menyemak rekod kesihatan jemaah secara dalam talian dan mengelak kehilangan buku rekod rawatan fizikal.
“Aplikasi Hajj Mobiliti memudahkan petugas menyelaraskan pergerakan jemaah sepanjang musim haji,” katanya.
Zulkifli berkata, TH sentiasa melakukan penilaian dari semasa ke semasa untuk memastikan proses dan pengurusannya adalah yang terbaik di dunia.
Katanya, operasi Haji 2025 berakhir dengan jayanya hasil perancangan gerak kerja awal dan rapi dalam memastikan kesejahteraan jemaah terus dipelihara. – UTUSAN











