Syarikat konsesi wajib laksana ujian penilaian turapan jalanan

PARLIMEN: Syarikat konsesi wajib laksana ujian penilaian turapan jalanan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi lebuh raya diwajibkan melaksanakan Ujian Penilaian Keadaan Turapan (PCA) secara tahunan bagi menilai tahap kualiti jalan yang diselenggara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ujian tersebut penting bagi mengenal pasti lokasi jalan yang mengalami kerosakan dan tidak lagi memenuhi tanda aras yang ditetapkan, sekali gus membolehkan tindakan pembaikan segera dilaksanakan.

“Kerja-kerja pembaikan akan dijalankan di lokasi yang dikenal pasti mengalami kerosakan dan tidak memenuhi tanda aras yang telah ditetapkan bagi setiap jenis kerosakan jalan.

“Selain itu, pemeriksaan visual secara berkala turut dilakukan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi bagi mengenal pasti sebarang kerosakan turapan yang perlu dibaiki,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN–Kangar) mengenai halangan dalam pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya serta penggunaan teknologi bagi memastikan ketahanan jalan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, perubahan pola pergerakan kenderaan terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti sekolah menuntut perancangan teliti dalam pelaksanaan kerja baik pulih jalan termasuk penutupan lorong sementara.

Katanya, kementerian terus menggalakkan penggunaan inovasi dalam reka bentuk turapan seperti stone mastic asphalt (SMA) dan bahan tambahan seperti fiber dalam campuran asfalt bagi meningkatkan jangka hayat dan mutu jalan.

“Jika tidak dikendalikan dengan baik, penutupan lorong boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas. Tambahan pula, faktor cuaca yang tidak menentu turut mempengaruhi tempoh kerja pembaikan.

“Kementerian juga menekankan aspek kawalan kualiti bagi memastikan kerja pembaikan jalan menepati spesifikasi serta tatacara telah ditetapkan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN