KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bacaan kali kedua RUU itu dijangka dilakukan dalam sidang Parlimen kali ini.
Katanya, RUU itu bakal memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengenakan Perintah Kehadiran Wajib terhadap pesalah yang dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun berbanding had maksimum tiga tahun ketika ini.
Berdasarkan naskhah biru RUU yang diedarkan, pindaan utama membabitkan Seksyen 5 Akta 461 khususnya subseksyen 5(1) yang memperluas kuasa mahkamah untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun supaya menjalani Perintah Kehadiran Wajib sebagai alternatif kepada pemenjaraan.
“Ketika ini, perintah tersebut hanya terpakai untuk pesalah yang dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah. Pindaan ini membolehkan lebih ramai pesalah menjalani hukuman dalam komuniti dengan pemantauan ketat tanpa dipenjarakan,” kata keterangan RUU tersebut.
Pindaan turut melibatkan subseksyen 5(1A) dengan peruntukan baharu bagi memberi panduan kepada mahkamah dalam mempertimbangkan faktor yang wajar sebelum mengeluarkan Perintah Kehadiran Wajib.
Selain itu, subseksyen baharu 5(1a) juga dimasukkan bagi membolehkan mahkamah menetapkan tanggungjawab dan syarat pematuhan terhadap pesalah yang diperintahkan menjalani kehadiran wajib termasuk keperluan menyempurnakan bon dengan atau tanpa penjamin.
Pada masa sama, Seksyen 8 Akta 461 turut dipinda dengan memasukkan dua subseksyen baharu iaitu (1A) dan (1B) untuk meluaskan kuasa mahkamah terhadap pesalah yang melanggar perintah tersebut.
Subseksyen (1A) membolehkan mahkamah mengeluarkan saman atau waran tangkap jika pesalah ingkar hadir berdasarkan laporan Komisioner Jeneral.
Sementara itu, subseksyen (1B) memberi kuasa kepada mahkamah untuk menahan pesalah di tempat tahanan sementara sebelum dihadapkan semula ke mahkamah atau dibebaskan dengan jaminan.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperluas pendekatan pemulihan pesalah dalam komuniti dan mengurangkan kebergantungan terhadap hukuman penjara, selaras dengan pembaharuan sistem keadilan jenayah negara. – UTUSAN