PARLIMEN: Pihak eksploitasi kanak-kanak untuk mengemis boleh dipenjara

PARLIMEN: Pihak eksploitasi kanak-kanak untuk mengemis boleh dipenjara

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan mengemis boleh dihukum denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun jika didapati berbuat demikian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya memandang serius terhadap kegiatan itu dengan undang-undang di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) boleh digunakan untuk mengekang perbuatan itu.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) giat melaksanakan operasi penguatkuasaan secara ad-hoc dan berkala bagi membanteras kegiatan mengemis membabitkan kanak-kanak serta golongan dewasa di tempat awam.

“Operasi yang dikenali sebagai Tindakan Mengambil Orang Papa itu dilaksanakan berdasarkan aduan dan secara berkala dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Tindakan tegas perlu diambil kerana kegiatan mengemis melibatkan kanak-kanak bukan sahaja mencabul hak mereka untuk membesar dalam persekitaran selamat dan bermaruah, malah menjurus kepada eksploitasi menyalahi undang-undang.

“KPWKM memandang serius isu eksploitasi kanak-kanak yang dipergunakan untuk mengemis. Di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), mana-mana pihak yang didapati mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam jawapan bertulis hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin mengetahui tindakan kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak yang dipergunakan untuk meminta sedekah di tempat awam serta sejauh mana kerjasama antara JKM dan agensi penguatkuasa lain dalam membanteras kegiatan berkenaan.

Nancy berkata, JKM turut menjalankan kempen kesedaran secara berterusan untuk mendidik orang awam agar tidak memberi wang kepada kanak-kanak yang mengemis kerana tindakan tersebut hanya menggalakkan eksploitasi berterusan.

Bagi kanak-kanak yang berjaya diselamatkan, katanya, mereka akan diberikan khidmat kaunseling, sokongan psikososial, bimbingan emosi serta pendidikan semula yang dapat memulihkan keyakinan diri dan kesejahteraan mental mereka.

“Menangani isu eksploitasi kanak-kanak dalam aktiviti mengemis memerlukan komitmen yang menyeluruh dan berterusan. Ia bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, malah memerlukan kerjasama erat daripada seluruh lapisan masyarakat.

“Setiap individu mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk melaporkan sebarang bentuk eksploitasi terhadap golongan yang lemah ini. Kita semua perlu berganding bahu memastikan hak dan maruah kanak-kanak terus dipelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN