PARLIMEN: Pembekal kenderaan perisai didenda RM162 juta

PARLIMEN: Pembekal kenderaan perisai didenda RM162 juta

ADLY Zahari - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Notis tuntutan denda lewat berjumlah RM162,754,365.95 telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat pembekal atas kelewatan penghantaran 68 unit kenderaan perisai sepanjang tempoh antara tahun 2020 hingga 2023.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, notis tuntutan itu dikeluarkan pada Januari lalu dan susulan itu, syarikat terbabit mengemukakan rayuan untuk mengetepikan denda atas alasan berlakunya keadaan memaksa (force majeure) akibat pandemik Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine.

“Permohonan rayuan syarikat telah dibentangkan pada 6 Mei 2025. Hasil pertimbangan, syarikat tetap dikenakan denda lewat berjumlah RM162 juta serta bon pelaksanaan bernilai RM53 juta.

“Baki nilai denda akan dituntut melalui pelunasan timbal balik melibatkan kontrak semasa atau kutipan berasingan daripada pihak syarikat,” katanya ketika penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, LKAN mendedahkan wujud kelemahan ketara dalam pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak pembekalan kenderaan perisai kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam tempoh 2020 hingga 2023 membabitkan implikasi kewangan ratusan juta ringgit.

Laporan itu turut mendedahkan kerajaan masih belum mengutip denda kelewatan bernilai RM162.75 juta daripada sebuah syarikat pembekal utama kenderaan perisai 8×8 GEMPITA walaupun kontrak berkenaan telah tamat sejak Disember 2022.

Mengulas lanjut, Adly mengakui wujud kelemahan dalam aspek penguatkuasaan terma kontrak oleh kementerian sebelum ini.

“Justeru, Kementerian Pertahanan kini sedang membangunkan sistem pemantauan kontrak bagi membantu pegawai memantau pelaksanaan kontrak secara lebih sistematik dan efisien.

“Langkah ini bertujuan memastikan tindakan penguatkuasaan seperti pengenaan denda dapat dilaksanakan secara serentak tanpa perlu menunggu sehingga projek ditamatkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN